[Rencana] Bariatrik Pilihan Solusi Untuk Masalah Obesiti

SUDAH jenuh berdiet, bersenam dan pantang ada iklan tentang keberkesanan pil pelangsing atau jus diet semua dicuba, namun hasilnya tidak juga kelihatan malah dari hari ke sehari terasa tubuh semakin berat.




Tidak ada siapa yang mahu jadi gemuk. Bukan sahaja tidak menarik dari segi penampilan malah gemuk meningkatkan peluang untuk menghidap salah satu atau lebih penyakit yang boleh membawa maut lebih-lebih lagi apabila ia mencecah tahap obesiti.

Pada peringkat awal, gemuk atau obesiti boleh menyebabkan masalah seperti sukar berjalan, sakit belakang, sering keletihan, menjejaskan keadaan kulit dan sesak nafas.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, berat badan berlebihan ini berkecenderungan menjadi lebih teruk dengan ancaman penyakit yang boleh membawa maut.

Rencana ini tidak menumpukan soal penampilan atau keyakinan diri sekiranya dapat menguruskan badan, tapi yang lebih utama ialah banyak penyakit berbahaya dapat dielak jika seseorang itu tidak mengalami berat badan berlebihan.

Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa obesiti boleh memendekkan jangka hayat sehingga 10 tahun.




Menakutkan tapi itu hakikat yang perlu didepani apabila tubuh tidak lagi tertanggung dengan berat yang terlampau.

Begitu pun setiap masalah ada penyelesaiannya dan setiap penyakit ada penawarnya. Individu obesiti mungkin akan berasa sedikit lega apabila dikatakan mereka kini mempunyai satu lagi opsyen untuk menikmati kehidupan yang lebih baik iaitu dengan menjalani pembedahan bariatrik (atau juga dikenali sebagai pembedahan obesiti).

Ketika ini terdapat tiga jenis pembedahan bariatrik iaitu Lingkaran Laporoskopik Boleh Ubahsuai (LAGB), pembedahan Sleeve Gastrectomy (SG) dan Pintasan Gastrik (GB).

Sebelum sebarang keputusan diambil untuk menggunakan salah satu daripada kaedah tersebut keadaan pesakit terlebih dahulu akan dinilai secara menyeluruh oleh doktor.

Menurut pakar surgeri bariatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Chin Kin Fah, individu yang mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bariatrik sebagai opsyen bagi menyelesaikan masalah obesiti yang dihadapi boleh memilih salah satu daripada tiga kaedah tersebut.

“Secara umumnya LAGB ialah sejenis lingkaran silikon lembut dengan belon elastik yang boleh menggelembung apabila disuntik mengikut keperluan individu.

“Ia diikat pada bahagian atas perut dan menjadikan perut terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian kecil yang berada di atas lingkaran mempunyai muatan kira-kira 10 – 20 ml (kantung) manakala bahagi besar berada di bawah lingkaran.

“Melalui kaedah ini perut tidak akan dibedah atau dirosakkan dengan stapel bahkan lingkaran boleh ditanggalkan dengan mudah tanpa merosakkan anatomi perut.

“Kaedah ini terbukti selamat, berkesan dan mengekalkan pengurangan berat badan untuk jangka panjang. Kira-kira 50 peratus daripada berat badan yang berlebihan dapat dikurangkan dalam tempoh dua tahun,” jelasnya.

Tambahnya, pembedahan yang dijalankan bukanlah secara surgeri terbuka kerana ia hanya melibatkan empat tebukan kecil dan seterusnya luka kecil tersebut akan dijahit dan pesakit boleh kembali ke rumah selepas dua hari pembedahan (bergantung pada kes).

Satu lagi kelebihan LAGB ialah sifatnya yang berbalik iaitu pengikat boleh dikeluarkan dan perut kembali kepada bentuk asal.

“Bagi pembedahan Sleeve Gastrectomy pula merupakan bahagian yang terhad daripada teknik Biliopancreatic Diversion (BPD). Inervasi bahagian perut yang tertinggal tidak terjejas dan endoskopi masih boleh dilakukan. Secara teknikalnya, pembedahan ini boleh dilakukan dengan mudah dan pantas.

“Ia juga mengurangkan risiko sindrom buang (dumping) dan usus tersumbat. Namun ia tidak bersifat berbalik dan kesan jangka panjangnya tidak diketahui,” katanya.

Menurut Kin Fah, pengurangan berat badan bagi kaedah ini adalah antara 50 hingga 80 peratus.

Sementara itu, cara Pintasan Gastrik atau juga dikenali sebagai pintasan perut ialah kombinasi elemen sekatan dan tidak serap.

Sekatan dilakukan dengan membina kantung perut yang kecil bersama pengalir keluar yang halus supaya mempercepatkan rasa kenyang.

“Penyerapan gizi makanan akan berkurangan melalui pintasan. Sejauh mana pengurangan serapan makanan bergantung pada ukuran bahagian yang dipintas di saluran usus,” ujarnya.

Siapa yang layak untuk pembedahan ini?

Dalam pada itu menurut Kin Fah berkata, tidak semua individu yang gemuk layak untuk melakukan prosedur ini dan ia hanya ditentukan oleh pakar bedah yang mengkhusus dalam bidang tersebut.

Sebagai contoh katanya, seseorang yang berat badannya hanya 70 kilogram (kg) dan mahu menurunkan kepada 50 kilogram tidak layak untuk menjalani pembedahan ini.

Ini kerana prosedur ini adalah untuk mereka yang benar-benar mengalami obesiti iaitu mereka yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) pada skor 37 atau lebih. Atau boleh juga jika BMI 32 serta mengalami dua masalah kesihatan yang berkaitan dengan obesiti seperti diabetes jenis II, masalah jantung, sakit sendi atau berdengkur.

Syarat lain ialah individu obesiti tersebut telah mencuba pelbagai kaedah menurunkan berat badan tapi tidak berjaya.

“Perlu diingatkan pesakit yang hendak mengikuti prosedur ini perlu membuat komitmen seumur hidup seperti tindakan susulan, mematuhi diet, senaman dan mengikuti panduan perubatan secara terperinci.

“Istimewanya di PPUM, kami mempunyai kumpulan penjagaan menyeluruh untuk memastikan pesakit mendapat perhatian sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembedahan,” ujarnya.

Bagi yang merokok pula, pakar menyarankan agar berhenti merokok sekurang-kurang enam minggu sebelum pembedahan.

Saranan pakar diet

Sementara itu pakar diet bagi program ini Rafidah Othman berkata, pembedahan pintasan gastrik sering disarankan kepada pesakit yang menghidapi diabetes mellitus kerana dalam masa yang sama dapat mengawal pengambilan makanan bergula mereka.

“Saya akan mengatur program diet kepada pesakit iaitu kira-kira enam minggu sebelum mereka mengikuti pembedahan bariatrik .

“Dalam tempoh ini biasanya pesakit juga berjaya mengurangkan beberapa kilogram daripada berat badan asal mereka.

“Selepas pembedahan, pesakit disarankan untuk mengambil diet cecair iaitu semua jenis makanan rendah lemak dan rendah gula yang berbentuk cecair.

“Keperluan protein mereka pula adalah 60-80 gram setiap hari. Empat minggu selepas pembedahan, pesakit perlu mengikuti diet lembut (puri) dan selepas biasa dengan diet tersebut pesakit boleh mula mengambil makanan yang bertekstur lembut,” jelasnya.

Kredit : Utusan Malaysia & Flickr

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 7.8/10 (6 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +3 (from 3 votes)
[Rencana] Bariatrik Pilihan Solusi Untuk Masalah Obesiti, 7.8 out of 10 based on 6 ratings