Masalah Obesiti Di Kalangan Pelajar Semakin Serius?

Nor Amirah
PETALING JAYA 17 April – Mulai sekarang, indeks jisim badan (BMI) setiap pelajar akan direkodkan di dalam kad laporan prestasi oleh guru untuk perhatian ibu bapa.

Arahan serta-merta itu dibuat oleh kerajaan dalam usaha menangani peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebelum ini, BMI tidak dicatatkan dalam kad laporan pelajar menyebabkan sesetengah ibu bapa tidak mengawal pemakanan anak-anak kerana tidak tahu sama ada berat badan mereka ideal, terlebih atau obes.

“Langkah itu diharap dapat membantu ibu bapa yang mempunyai anak dengan berat badan berlebihan mendapatkan nasihat klinik kesihatan berdekatan bagi mendapatkan kembali berat badan ideal,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) dan melancarkan kad ahli PPKK 2010-2013, di sini hari ini.

Selain itu, jelasnya, penjualan makanan yang tidak berkhasiat, contohnya mengandungi gula dan garam berlebihan serta minuman ringan di kantin sekolah, tidak lagi dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.

Tambahnya, langkah itu yang dipersetujui dalam satu mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 April lalu adalah permulaan untuk memperkenalkan gaya hidup lebih sihat.

“Ini berikutan Malaysia berada pada kedudukan keenam di Asia sebagai negara yang mempunyai orang dewasa dengan kadar obesiti yang tinggi,” katanya.

Ujar Tiong Lai, kajian terbaru Kementerian Kesihatan juga menganggarkan kira-kira 1.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengalami obesiti.

Katanya, situasi itu amat membimbangkan kerana obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit diabetes, kardiovaskular dan beberapa jenis kanser.

Terdahulu, berucap pada majlis itu, Tiong Lai berkata, negara masih dibelenggu masalah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes yang kini menduduki tangga teratas dalam 10 senarai penyebab utama kemasukan dan juga kematian di hospital kerajaan.

“Kurang bersenam, terdedah kepada makanan yang mempunyai kalori dan kandungan garam serta merokok adalah faktor penyumbang kepada ancaman penyakit ini.

“Dianggarkan 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes dan 4.8 juta menghidap darah tinggi,” ujarnya.

Kredit: Utusan & Flickr

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 3.7/10 (3 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +1 (from 1 vote)

Masalah Obesiti Di Kalangan Pelajar Semakin Serius?, 3.7 out of 10 based on 3 ratings

Print Friendly

More in Ragam Diet, Tips Diet (55 of 97 articles)