Elak Kalori Berlebihan Dalam Diet Kanak-Kanak

Pemakanan yang baik penting untuk kesejahteraan mental dan perkembangan fizikal kanak-kanak, khususnya pada tahun-tahun awal tumbesaran mereka kerana ia asas kukuh demi kesihatan sepanjang hayat.

Menjadi lumrah setiap ibu bapa ingin memberikan hanya yang terbaik kepada anak mereka. Sehubungan itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha memupuk tabiat pemakanan sihat.




Ibu bapa perlu tahu mengenai pemakanan baik dan mengenali pilihan makanan yang sihat untuk anak mereka. Satu daripada isu yang mereka hadapi ialah keperluan untuk memahami begitu banyak maklumat yang ada dan seterusnya menentukan antara yang betul dan yang salah.

Jumlah kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dan gemuk semakin meningkat di Malaysia dan di seluruh dunia.

Satu daripada punca asas masalah ini ialah ketidakseimbangan tenaga antara pengambilan dan penggunaan kalori.

Menambah kepada kemelut ini ialah kekeliruan antara definisi dan fungsi gula, khususnya gula tambahan dalam diet kanak-kanak.

Dengan memahami lebih lanjut mengenai gula dan gula tambahan, ibu bapa boleh melakukan perubahan besar dalam meningkatkan kualiti diet dan kesihatan anak mereka.

Adakah gula membawa kebaikan atau keburukan? Berapa banyak gula harus diambil seorang kanak-kanak? Apakah gula tambahan yang perlu diawasi? Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong pendidikan pemakanan dan mewujudkan kesedaran mengenai pemakanan sesuai untuk kanak-kanak yang membesar, Fonterra berbangga kerana terbabit membawa dua pakar makanan dan pemakanan antarabangsa yang terkemuka ke Malaysia.

Pengarah Children’s Nutrition Research Centre, University of Queensland, Australia, Prof Peter Davies dan Ketua Saintis, Institute for Plant and Food Research, New Zealand, Dr John Monro berada di Malaysia baru-baru ini untuk menyampaikan ucaptama sempena persidangan saintifik bebas yang dianjurkan untuk golongan profesional kesihatan, ahli akademik dan pegawai kerajaan mengenai gula tambahan dalam diet kanak-kanak.




Kata Davies yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pentingnya Keseimbangan Tenaga dalam Diet Kanak-Kanak’, jika kanak-kanak tidak mencapai keseimbangan antara pengambilan dan penggunaan kalori, berat badan mereka akan meningkat dengan ketara.

“Karbohidrat merangkumi sebahagian besar daripada pengambilan kalori kanak-kanak dan selepas dimakan, semua karbohidrat akhirnya akan menjadi gula dalam badan.

“Karbohidrat seharusnya diambil daripada sumber makanan yang tinggi dengan kandungan karbohidrat kompleks seperti kanji – tiada keperluan sebenar bagi mereka untuk makan jumlah gula tambahan yang banyak.

“Memilih makanan yang padat dengan khasiat baik dapat memastikan tubuh badan kanak-kanak menerima khasiat yang diperlukan untuk perkembangan dan tumbesaran.

“Secara perbandingan, jika mereka mengambil jumlah kalori yang sama daripada banyak gula tambahan, nilai khasiatnya adalah terhad.

“Gula tambahan ini sering dirujuk sebagai ‘kalori kosong’ dan pengambilan berlebihan meningkatkan risiko berat badan berlebihan dan kegemukan,” katanya.

Menurutnya, tindakan mengehadkan jumlah gula tambahan dalam diet kanak-kanak memang disyorkan. Ibu bapa perlu sedar hakikat ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anak mereka.

Dr Monro yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Gula dan Gula Tambahan dalam Pelabelan Makanan’ berkata, sesetengah makanan yang mengandungi gula yang terkandung secara semula jadi, gula tambahan dan ramuan tertentu akan bertukar menjadi gula di dalam badan dengan cepat.

Bagaimanapun, disebabkan semua bahan ini dihadamkan dengan pantas, sifatnya sama daripada segi pemakanan.

“Pada masa ini, wujud gula tambahan dalam pelbagai makanan dan minuman yang diproses – malah sesetengah ibu bapa menganggapnya sebagai sihat.




“Disebabkan nama ramuan yang kurang dikenali digunakan, seperti sukrosa, maltose, dekstrin, sirap jagung dan sirap glukosa, ramai ibu bapa sebenarnya tidak menyedari mereka memberikan anak terlalu banyak gula,” katanya.

Dr Monro berkata, cara terbaik ialah mengikuti panduan Panel Maklumat Pemakanan (NIP) dan senarai bahan ramuan pada label makanan.

“Mengikut Garis Panduan Pelabelan Malaysia semua gula, sama ada semula jadi atau ditambah, disenaraikan sebagai sebahagian daripada karbohidrat, manakala kandungan serat disenaraikan secara berasingan.

“Jadi, di dalam susu tepung, semua kandungan karbohidrat adalah gula. Dengan hakikat pelabelan ini, dan juga kerana kita tahu bahawa paras laktosa secara semula jadi dalam susu biasa adalah kira-kira 11 hingga 12 gram setiap hidangan, bermakna jumlah karbohidrat dalam setiap hidangan ialah petunjuk yang boleh dipercayai untuk menentukan anggaran gula tambahan dalam produk susu.

“Paras yang jauh lebih tinggi daripada tahap laktosa semula jadi menandakan penambahan gula tambahan,” katanya.

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 8.4/10 (5 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +2 (from 2 votes)
Elak Kalori Berlebihan Dalam Diet Kanak-Kanak, 8.4 out of 10 based on 5 ratings