Buang Toksin Dalam Badan

SEMENJAK malapetaka ekologi membabitkan Chisso Corporation, sebuah kilang memproses baja di Minamata, Jepun pada tahun 1932, isu pencemaran bahan kimia di dalam makanan khususnya hidupan laut seperti ikan dan kerang terus diperkatakan hingga kini.




Sehingga tahun 2001, seramai 2,265 mangsa dikesan menghidap penyakit Minamata yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

Penyakit itu berpunca daripada pembuangan methylmercuri secara terus ke dalam laut oleh Chisso dari tahun 1932 hingga 1968.

Dalam insiden tersebut, hidupan laut khususnya ikan dan kerang yang menjadi makanan ruji penduduk Teluk Minamata tercemar dengan bahan kimia bertoksik tinggi itu.

Bagaimanapun, peristiwa tersebut menyebabkan para saintis lebih giat mengkaji kehadiran logam berat berbahaya di dalam hidupan laut yang menjadi makanan masyarakat dunia.

Persatuan Kehamilan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada ibu mengandung agar tidak mengambil ikan tuna, merlin serta mackerel kerana ia tercemar dengan merkuri.

Tahap radiasi merkuri ikan tuna dikenal pasti berdasarkan jenis dan tempat ia ditangkap. Keracunan merkuri mampu merosakkan perkembangan otak serta fizikal janin.

Pada umumnya, siapa pun tahu racun memang mudarat untuk tubuh. Racun yang terkumpul di dalam badan boleh datang daripada mana sahaja.




Ia mungkin daripada air atau makanan yang ditelan, udara yang dihirup atau sesuatu yang disentuh oleh tangan.

Antara logam berat yang sering ditemui di dalam tubuh ialah merkuri, aluminium kadmium, dan plumbum.

Semula jadi

Menurut Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, sebanyak 43 peratus daripada kes keracunan di negara ini yang dilaporkan pada tahun 2008 berpunca daripada kandungan isi rumah.

Jelas Ahli Farmasi PRN, Sulastri Samsudin, penyebaran utama bahan toksik berlaku melalui saluran makanan iaitu mulut, saluran pernafasan (hidung), kulit dan mata.

Menurut beliau, makanan sendiri terhasil melalui gabungan beberapa jenis bahan kimia dan menjadi sumber nutrisi seperti protein, karbohidrat, vitamin, serat dan antioksidan.

Namun, terdapat bahan beracun seperti cyanogenic glycoside di dalam sesetengah ubi.

Sesetengah teknik pemprosesan masakan juga menghasilkan bahan sampingan bertoksik seperti polycylic aromatic hydrocarbon atau acrylamide.

Selain itu, bahan pencemar alam sekitar seperti plumbum dan bahan berklorin, kadmium daripada kerak bumi serta alga dan kulat seperti aflatoksin dan racun daripada kerang-kerangan boleh didapati dalam bekalan makanan pada tahap berbeza-beza.

Dalam pada itu, daripada kesemua sampel produk kosmetik serta bahan makanan dan minuman yang diuji Pengguna Pulau Pinang (CAP) setakat ini, hampir 99 peratus daripadanya mengandungi bahan beracun di dalamnya.




Ini termasuk bekas polisterina, asid borik, bedak talkum, botol susu Bisphenol A (BPA), bekas air polikarbonat, sotong kering serta perasa tambahan Rhodamine B.

Kesannya, setiap pengguna akan berdepan dengan risiko penyakit berbahaya seperti kanser, perubahan genetik, diabetes, kerosakan buah pinggang dan koronari jantung.

Risiko

Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut didapati bahaya untuk kesihatan badan dan seeloknya diharamkan penjualannya.

Malangnya, kata beliau, sehingga kini asid borik masih digunakan dalam produk makanan walaupun pihaknya telah beberapa kali menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Ujian yang dilakukan ke atas pelbagai makanan seperti mi kuning, bak chang (ladu Cina) dan kuih Nyonya yang dibeli di pasar basah di Pulau Pinang mendapati ia mengandungi asid borik dalam semua sampel.

“Satu sampel bak chang didapati mengandungi 569 bps (bahagian per sejuta) asid borik, mi kuning (6.51 hingga 296 bps) manakala kuih Nyonya (0.78 hingga 13.5 bps) asid borik.

“Asid borik amat toksin. Walaupun diambil dalam jumlah yang kecil, ia boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah pinggang dan hilang selera makan,” katanya kepada Jurnal.

Selain itu, kata Mohamed, bagi penggemar sotong kering, mereka dinasihati agar tidak memakannya berikutan ujian terbaru yang mendapati ia dicemari kadmium.

Sebelum ini, kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran, dalam bateri, konduktor elektrik dan dalam pembuatan aloi serta plastik.

Selain itu, racun makhluk perosak endosulfan yang digunakan oleh para petani juga didapati berbahaya untuk kesihatan.

Endosulfan ialah sejenis toksin yang sangat beracun dan disyaki boleh menjejaskan sistem endokrin.

Walaupun telah diharamkan pengeluarannya pada tahun 2006 di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974, penjualannya masih berleluasa di sekitar negeri Kedah.

Biasanya tubuh memproses racun-racun yang dikenali sebagai toksin itu menerusi hati dan buah pinggang sebelum mengeluarkannya melalui air kencing, peluh dan pembuangan air besar.

Tetapi bagaimana jika sistem perkumuhan semula jadi itu gagal berfungsi?

Nyahtoksin

Disebabkan sumber racun yang memasuki tubuh terlalu banyak, sesetengah orang mencari penyelesaian alternatif bagi membuang kekotoran atau toksin yang terperangkap itu dengan pelbagai cara.

Antaranya ialah mengambil pil, pelekat, minuman serta makanan yang dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh.

Bagaimanapun, menurut pakar terapi nutrisi di My Life Center, Esther Peh, cara terbaik untuk menyahtoksik ialah melalui proses semula jadi oleh organ tubuh.

“Organ penting seperti buah pinggang, hati, kulit dan kolon mempunyai sistem yang tersendiri untuk membuang kekotoran yang mendap di dalam tubuh,” terang beliau.

Namun, atas faktor usia, kecekapan organ tersebut kadangkala berkurangan. Justeru, penggunaan rawatan penyahtoksin seperti terapi chelation yang ditawarkan My Life Center dapat melancarkan proses tersebut, katanya.

Jelas beliau, antara simptom utama tubuh manusia diserang oleh toksin ialah hilang selera makan, keletihan melampau atau sukar untuk tidur.

Esther berpendapat seseorang individu perlu melakukan rejim nyahtoksin setiap tiga atau enam bulan sekali.

“Dengan risiko terdedah pada pelbagai punca dan jenis toksin, amat perlu untuk memastikan toksik keluar daripada tubuh.

“Ini penting bagi mengelakkan kerosakan organ seperti usus, buah pinggang atau hati di samping berlakunya dehidrasi,” katanya.

Sambung Esther, disebabkan toksin amat berkait rapat dengan lemak, individu perlu melakukan rutin senaman secara teratur.

Selulit, jelasnya, merupakan ukuran mudah untuk mengetahui tahap toksin di dalam tubuh seseorang kerana toksin sentiasa ‘melekat’ pada lemak.

Selain itu, tubuh turut memerlukan agen pemulihan.

“Pengambilan antioksida seperti makanan tinggi serat atau lengai anggur boleh membantu memulihkan organ yang luka akibat proses nyahtoksin,” kata Esther.

Kredit : Kosmo & Flickr

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 5.6/10 (13 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +3 (from 5 votes)

[Rencana] Bariatrik Pilihan Solusi Untuk Masalah Obesiti

SUDAH jenuh berdiet, bersenam dan pantang ada iklan tentang keberkesanan pil pelangsing atau jus diet semua dicuba, namun hasilnya tidak juga kelihatan malah dari hari ke sehari terasa tubuh semakin berat.




Tidak ada siapa yang mahu jadi gemuk. Bukan sahaja tidak menarik dari segi penampilan malah gemuk meningkatkan peluang untuk menghidap salah satu atau lebih penyakit yang boleh membawa maut lebih-lebih lagi apabila ia mencecah tahap obesiti.

Pada peringkat awal, gemuk atau obesiti boleh menyebabkan masalah seperti sukar berjalan, sakit belakang, sering keletihan, menjejaskan keadaan kulit dan sesak nafas.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, berat badan berlebihan ini berkecenderungan menjadi lebih teruk dengan ancaman penyakit yang boleh membawa maut.

Rencana ini tidak menumpukan soal penampilan atau keyakinan diri sekiranya dapat menguruskan badan, tapi yang lebih utama ialah banyak penyakit berbahaya dapat dielak jika seseorang itu tidak mengalami berat badan berlebihan.

Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa obesiti boleh memendekkan jangka hayat sehingga 10 tahun.




Menakutkan tapi itu hakikat yang perlu didepani apabila tubuh tidak lagi tertanggung dengan berat yang terlampau.

Begitu pun setiap masalah ada penyelesaiannya dan setiap penyakit ada penawarnya. Individu obesiti mungkin akan berasa sedikit lega apabila dikatakan mereka kini mempunyai satu lagi opsyen untuk menikmati kehidupan yang lebih baik iaitu dengan menjalani pembedahan bariatrik (atau juga dikenali sebagai pembedahan obesiti).

Ketika ini terdapat tiga jenis pembedahan bariatrik iaitu Lingkaran Laporoskopik Boleh Ubahsuai (LAGB), pembedahan Sleeve Gastrectomy (SG) dan Pintasan Gastrik (GB).

Sebelum sebarang keputusan diambil untuk menggunakan salah satu daripada kaedah tersebut keadaan pesakit terlebih dahulu akan dinilai secara menyeluruh oleh doktor.

Menurut pakar surgeri bariatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Chin Kin Fah, individu yang mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bariatrik sebagai opsyen bagi menyelesaikan masalah obesiti yang dihadapi boleh memilih salah satu daripada tiga kaedah tersebut.

“Secara umumnya LAGB ialah sejenis lingkaran silikon lembut dengan belon elastik yang boleh menggelembung apabila disuntik mengikut keperluan individu.

“Ia diikat pada bahagian atas perut dan menjadikan perut terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian kecil yang berada di atas lingkaran mempunyai muatan kira-kira 10 – 20 ml (kantung) manakala bahagi besar berada di bawah lingkaran.

“Melalui kaedah ini perut tidak akan dibedah atau dirosakkan dengan stapel bahkan lingkaran boleh ditanggalkan dengan mudah tanpa merosakkan anatomi perut.

“Kaedah ini terbukti selamat, berkesan dan mengekalkan pengurangan berat badan untuk jangka panjang. Kira-kira 50 peratus daripada berat badan yang berlebihan dapat dikurangkan dalam tempoh dua tahun,” jelasnya.

Tambahnya, pembedahan yang dijalankan bukanlah secara surgeri terbuka kerana ia hanya melibatkan empat tebukan kecil dan seterusnya luka kecil tersebut akan dijahit dan pesakit boleh kembali ke rumah selepas dua hari pembedahan (bergantung pada kes).

Satu lagi kelebihan LAGB ialah sifatnya yang berbalik iaitu pengikat boleh dikeluarkan dan perut kembali kepada bentuk asal.

“Bagi pembedahan Sleeve Gastrectomy pula merupakan bahagian yang terhad daripada teknik Biliopancreatic Diversion (BPD). Inervasi bahagian perut yang tertinggal tidak terjejas dan endoskopi masih boleh dilakukan. Secara teknikalnya, pembedahan ini boleh dilakukan dengan mudah dan pantas.

“Ia juga mengurangkan risiko sindrom buang (dumping) dan usus tersumbat. Namun ia tidak bersifat berbalik dan kesan jangka panjangnya tidak diketahui,” katanya.

Menurut Kin Fah, pengurangan berat badan bagi kaedah ini adalah antara 50 hingga 80 peratus.

Sementara itu, cara Pintasan Gastrik atau juga dikenali sebagai pintasan perut ialah kombinasi elemen sekatan dan tidak serap.

Sekatan dilakukan dengan membina kantung perut yang kecil bersama pengalir keluar yang halus supaya mempercepatkan rasa kenyang.

“Penyerapan gizi makanan akan berkurangan melalui pintasan. Sejauh mana pengurangan serapan makanan bergantung pada ukuran bahagian yang dipintas di saluran usus,” ujarnya.

Siapa yang layak untuk pembedahan ini?

Dalam pada itu menurut Kin Fah berkata, tidak semua individu yang gemuk layak untuk melakukan prosedur ini dan ia hanya ditentukan oleh pakar bedah yang mengkhusus dalam bidang tersebut.

Sebagai contoh katanya, seseorang yang berat badannya hanya 70 kilogram (kg) dan mahu menurunkan kepada 50 kilogram tidak layak untuk menjalani pembedahan ini.

Ini kerana prosedur ini adalah untuk mereka yang benar-benar mengalami obesiti iaitu mereka yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) pada skor 37 atau lebih. Atau boleh juga jika BMI 32 serta mengalami dua masalah kesihatan yang berkaitan dengan obesiti seperti diabetes jenis II, masalah jantung, sakit sendi atau berdengkur.

Syarat lain ialah individu obesiti tersebut telah mencuba pelbagai kaedah menurunkan berat badan tapi tidak berjaya.

“Perlu diingatkan pesakit yang hendak mengikuti prosedur ini perlu membuat komitmen seumur hidup seperti tindakan susulan, mematuhi diet, senaman dan mengikuti panduan perubatan secara terperinci.

“Istimewanya di PPUM, kami mempunyai kumpulan penjagaan menyeluruh untuk memastikan pesakit mendapat perhatian sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembedahan,” ujarnya.

Bagi yang merokok pula, pakar menyarankan agar berhenti merokok sekurang-kurang enam minggu sebelum pembedahan.

Saranan pakar diet

Sementara itu pakar diet bagi program ini Rafidah Othman berkata, pembedahan pintasan gastrik sering disarankan kepada pesakit yang menghidapi diabetes mellitus kerana dalam masa yang sama dapat mengawal pengambilan makanan bergula mereka.

“Saya akan mengatur program diet kepada pesakit iaitu kira-kira enam minggu sebelum mereka mengikuti pembedahan bariatrik .

“Dalam tempoh ini biasanya pesakit juga berjaya mengurangkan beberapa kilogram daripada berat badan asal mereka.

“Selepas pembedahan, pesakit disarankan untuk mengambil diet cecair iaitu semua jenis makanan rendah lemak dan rendah gula yang berbentuk cecair.

“Keperluan protein mereka pula adalah 60-80 gram setiap hari. Empat minggu selepas pembedahan, pesakit perlu mengikuti diet lembut (puri) dan selepas biasa dengan diet tersebut pesakit boleh mula mengambil makanan yang bertekstur lembut,” jelasnya.

Kredit : Utusan Malaysia & Flickr

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 7.8/10 (6 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +3 (from 3 votes)

[Rencana] Ancaman Kesihatan Masa Kini – Kegemukan

Bukan sekadar penyakit berjangkit yang menjadi isu perbualan hangat di antara masyarakat kini tetapi masalah kegemukan yang menjadi ancaman penyakit juga telah lama bertapak di setiap lapisan masyarakat kita kini telah menjadi isu kesihatan yang semakin hebat dibicarakan.




Jika dulu, gemuk seringkali ditafsirkan sebagai sihat namun kini gemuk banyak dikaitkan dengan masalah kesihatan dan juga penampilan yang kurang menarik. Bukan bentuk lahiriah yang dipersoalkan tetapi kegemukan mungkin mengundang masalah lain yang tidak boleh dijangkakan.

Namun begitu, dalam sesetengah budaya, gemuk dikaitkan dengan kekuatan fizikal dan kesuburan. Gemuk juga diiktiraf sebagai simbol kekayaan dan status sosial terutama dalam kelompok masyarakat yang mengalami masalah kekurangan makanan. Dalam sejarah awal Eropah moden juga gemuk dikaitkan sebagai simbol kekayaan sebelum akhirnya ia dikaitkan dengan keghairahan dan juga selera .

Globalisasi dan urbanisasi juga dikaitkan dengan peningkatan kegemukan yang bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Gemuk atau berlebihan berat badan merupakan suatu kelaziman yang berlaku di negara Barat dan pola peningkatannya dilaporkan lebih cepat meningkat berbanding di negara- negara yang membangun.

Jika ditinjau keadaan semasa, semua golongan terutamanya wanita amat mementingkan penampilan dan kecantikan terutamanya berat badan. Namun, sejauh mana apa yang ingin ditampilkan ini dapat dijadikan amalan yang berterusan selari dengan apa yang diimpikan. Tidak ketinggalan, golongan lelaki juga mengalami dilema seperti wanita iaitu berkaitan dengan penampilan lahiriah.




Gemuk dan gendut juga menjadi satu masalah bagi kaum lelaki pada masa kini. Secara umumnya, unsur pemakanan dan gaya hidup merupakan punca utama yang menyumbang kepada masalah ini. Walaupun boleh dikatakan unsur baka (genetik) juga memainkan peranan dalam menyumbang kepada masalah kegemukan tetapi pengaruhnya hanyalah kecil sahaja dalam epidemik gemuk berbanding dengan pengaruh pemakanan dan gaya hidup.

Mengapakah seringkali diwawarkan akan bahaya gejala kegemukan walaupun ia sekadar pandangan atau penampilan lahiriah sahaja? Memang sebegitu pandangan sesetengah masyarakat namun secara ditirnya, kesan kegemukan boleh melangkau lebih dari sekadar itu.

Bukan setakat ia boleh menyebabkan penampilan yang tidak menarik tetapi juga boleh mengundang masalah- masalah kesihatan yang lain yang lebih teruk. Hal inilah yang seringkali diperkatakan oleh pakar- pakar kesihatan kini yang bimbang akan peningkatan penyakit yang tidak berjangkit berkait dengan kegemukan yang menjadi salah satu masalah kesihatan awam.

Terdapat juga mitos yang mengatakan bahawa wanita yang melahirkan anak ramai adalah punca kegemukan. Namun, ia bukanlah salah satu sebab yang utama kerana wanita yang tidak melahirkan anak juga cenderung untuk gemuk. Ia merupakan salah tanggapan yang buruk terhadap masalah kegemukan oleh segelintir masyarakat kita yang masih kurang pendidikan pemakanan.

Pokok pangkalnya, penjagaan pemakanan dan gaya hidup sihat yang perlu diamalkan dan bukanlah soal melahirkan anak atau tidak. Lelaki seperti juga dengan wanita bergelut dengan isu pertambahan berat badan yang kadang- kadang mereka sendiri tidak menyedari akan pertambahan ukur lilit perut sehingga menjadi punca masalah gendut. Punca utama masalah kegemukan yang dikenalpasti oleh pakar- pakar pemakanan mahupun kesihatan ialah ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga.

Ditambah lagi tiada perubahan dalam tabiat dan pengambilan makanan berlemak dan berkalori tinggi walaupun umum sudah mengetahui bahawa ia merupakan punca utama masalah kegemukan yang juga akan berakhir dengan masalah kesihatan yang lain. Gabungan antara pengambilan nutrisi yang berlebihan dan gaya hidup masyarakat yang lebih banyak duduk tanpa melakukan aktiviti yang aktif akan membarahkan lagi masalah kesihatan yang sedia wujud dalam masyarakat kita.

Harus diingatkan, walaupun isu kegemukan mendapat tempat di dalam masyarakat dan sering dibicarakan namun harus disedari bahawa tubuh badan yang kurus juga tidak menjamin seseorang bebas daripada mendapat penyakit- penyakit lain. Cuma yang pasti, risiko mendapat penyakit berbahaya seperti barah, penyakit jantung dan strok adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang mengalami masalah kegemukan. Apabila gemuk, aktiviti fizikal juga terbatas menyebabkan golongan ini juga malas bersenam dan sukar melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh dengan mudah seperti menaiki tangga, berjalan, berkebun dan sebagainya.

Dalam hal ini, kita perlu kembali kepada ajaran Islam. Bagaimana Rasulullah telah mengajar umatnya bersederhana dalam makanan perlu diambil iktibar sepertimana sabdanya: “Tidak ada bejana yang lebih buruk yang diisi oleh manusia daripada perutnya sendiri. Cukuplah seseorang itu memakan beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Kalau terpaksa, maka ia boleh mengisi sepertiga perutnya dengan makanan, sepertiga lagi dengan minuman dan sepertiga bakinya untuk nafas”.

Ini menunjukkan kepada kita agar bersederhana dan tidak boleh memakan secara berlebihan kerana ia mungkin akan memudaratkan tubuh badan kita. Para sahabat juga pernah makan di hadapan Nabi Muhammad SAW secara terus menerus sehingga kenyang. Terlalu kenyang juga akan melemahkan tenaga tubuh walaupun secara zahirnya tubuh akan terus subur.

Namun menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, tubuh hanya akan menjadi kuat dengan kualiti makanan yang diterimanya dan bukan dengan dipenuhi makanan sebanyak- banyaknya. Ini bermakna pemakanan yang sihat dan sempurna akan menghasilkan tubuh badan yang sihat dan bukannya bergantung kepada kuantiti makanan. Apabila aspek kuantiti yang ditekankan, maka akan berlakulah masalah yang digeruni oleh semua kini iaitu masalah kegemukan.

Sejajar dengan perkembangan semasa, banyak program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk menyedarkan rakyat tentang pemakanan dan gaya hidup sihat sekaligus untuk mengurangkan masalah kegemukan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia. Walau apapun langkah yang dianjurkan oleh mana- mana pihak, seandainya ia tidak bermula dengan diri kita sendiri, maka masalah kegemukan tidak akan berkurangan seterusnya masyarakat kita masih lagi terus berdepan dengan masalah kesihatan yang tidak berkesudahan.

Oleh sebab itulah, kita seharusnya mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan masalah kegemukan yang akan membarah dengan penyakit yang berbahaya berlaku sepertimana yang disebut oleh Al Harith ibn Kaladah bahawa pencegahan adalah inti pengubatan, dan perut adalah sarang penyakit, maka biasakanlah tubuh itu untuk melakukan hal yang biasa dilakukannya.

Jika kita melampau dan berlebihan dalam mengambil makanan, ia akan menyebabkan berlebihan zat makanan dan berat badan semakin meningkat seterusnya masalah lain akan timbul. Justeru itu, langkah pencegahan yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja ialah menjaga amalan pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat serta makan perlulah mengikut keperluan fisiologi dan bukannya psikologi.

Norkumala bt. Awang
Pegawai Penyelidik

Kredit : IKIM & Flickr

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 6.3/10 (13 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +4 (from 4 votes)

Masalah 3G – Adakah Anda Salah Seorang Darinya?

‘MASALAH 3G’ iaitu Gebu, Gempal dan Gemuk bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan tetapi turut mempengaruhi psikologi individu.




Apabila 3G menyumbang kepada peningkatan risiko masalah kesihatan antara lainnya seperti mendapat kanser payu dara, kanser kolon, prostat, ia juga turut memberi kesan psikologi yang boleh membawa kepada konsep kendiri yang rendah, penarikan diri daripada membina hubungan, pengasingan sosial, kebimbangan dan kesankesan psikologi yang lain.

Kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami masalah 3G.

Gejala 3G ini dikatakan menjadi masalah kesihatan yang semakin serius. Ini kerana kegemukan adalah permulaan untuk mendapat penyakit kronik seperti jantung, koronari, diabetes dan strok.

Memandangkan gejala 3G ini sudah menjadi masalah kesihatan yang semakin serius, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan oleh semua pihak.

Masalah kegemukan bukan sahaja dialami oleh penduduk negara ini. Kajian oleh American Medical Association menunjukkan peningkatan jumlah kes gemuk berlebihan dari tahun 1991 hingga 1998 di Amerika Syarikat (AS).

Seorang ahli psikologi menjelaskan bahawa masyarakat AS mempunyai wang yang lebih dan mengalami gaya hidup yang lebih sibuk.




Oleh itu, cara pemakanan turut berubah di mana mereka lebih menggemari makanan segera.

Kajian tersebut juga menunjukkan masalah kegemukan berbeza mengikut demografi. Kajian itu mendapati terlalu banyak makanan yang menyelerakan dan kurang senaman adalah juga antara punca kegemukan.

Di negara ini, 3G antara lainnya disebabkan daripada perubahan gaya hidup rakyat negara ini ekoran pertumbuhan pesat sosioekonomi yang memberangsangkan.

Seperti yang dikatakan, kesan 3G juga turut dirasai secara psikologinya. Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan berlebihan sering menerima stigma oleh rakan-rakan sebaya mereka. Menerima ejekan dan panggilan nama serta mengalami pengasingan sosial, tidak diterima oleh rakan-rakan adalah antara kesan-kesan yang boleh diterima oleh pelajar-pelajar sekolah yang menghadapi masalah kegemukan berlebihan (Strauss & Pollack, 2003).

Kesan-kesan segera kegemukan berlebihan dikaitkan pula dengan kesan psikologikal seperti mempunyai konsep kendiri yang rendah, mengalami masalah psikologikal seperti mempunyai tingkah laku untuk mengawal berat badan yang tidak sihat seperti bulimia.

Kanak-kanak yang mengalami masalah gemuk yang berlebihan juga dilaporkan lebih cenderung untuk mengamalkan diet yang berlebihan, tidak makan mengikut jadual waktu yang sepatutnya dan menghabiskan masa yang panjang di hadapan televisyen.

Kesan jangka masa panjang pula ialah mereka menerima layanan yang kurang adil di tempat kerja dan kadar perkahwinan yang rendah (Puhl & Brownell, 2003).

Bagaimanapun, tidak semua kanakkanak yang mengalami kegemukan berlebihan mengalami masalah psikologi. Kanak-kanak yang sering bercakap dengan ibu bapa mereka tentang tabiat pemakanan kurang berkemungkinan terlibat dalam tingkah laku tidak sihat.

Beberapa cadangan telah diberikan untuk mengurangkan masalah 3G ini. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mencadangkan dua amalan asas untuk menangani masalah 3G ini iaitu mengambil makanan berkhasiat mengikut keperluan tubuh dan melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi.

Cadangan lain ialah media boleh menunjukkan program-program kecergasan dan cara-cara menangani kegemukan.

Melakukan senaman sekurang-kurang 30 minit sehari, tiga kali seminggu juga dikatakan dapat mengurangkan masalah kegemukan. Masalahnya ialah adakah kita cukup beriltizam untuk melakukan senaman seperti yang dicadangkan. Penggunaan makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula juga patut dikurangkan.

– SAPORA SIPON,

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kredit : Utusan Malaysia & Flickr

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 6.5/10 (4 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +2 (from 2 votes)