Bolehkah Berdiet Tanpa Senaman?

Mungkinkah anda akan dapat mengurangkan berat badan dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan, mengambil ubatan tertentu tanpa melakukan apa-apa aktiviti fizikal?

Anda mungkin dapat mengurangkan berat badan dengan hanya ‘berlapar’ tetapi tidak mungkin mendapat bentuk badan yang diidamkan.





Risikonya pula, berat badan anda akan naik mendadak apabila anda kembali makan seperti biasa.

Jangan terperanjat jika anda mengalami pelbagai masalah yang berkaitan dengan organ badan dalam tempoh masa beberapa tahun.

Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norsyamimi Ahmad berkata, program mengurangkan berat badan tanpa senaman amat tidak logik.

“Senaman amat perlu untuk mengeluarkan tenaga daripada makanan jika tidak, ia akan ditukar menjadi lemak,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun senaman perlu dilengkapi dengan penjagaan makanan bagi memberikan berat badan yang ideal.

Sebenarnya bukan semua orang boleh melakukan senaman terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai morbit obes – jika bacaan Indeks Jisim Berat Badan (BMI) melebihi bacaan 40 (berbanding 19 hingga 25 yang biasa) serta mempunyai masalah kesihatan.




“Kaki pesakit morbit obes tidak mampu menampung berat badan.

“Jadi mereka boleh memulakan dengan diet kalori sangat rendah iaitu hanya mengambil 800 kalori sehari,” katanya.

Mereka yang menjalankan diet berkenaan perlu mendapatkan pemantauan berterusan daripada doktor atau pakar pemakanan di wad.

Cara mengurangkan berat badan paling baik adalah dengan menjaga makanan dan melakukan senaman.

“Kita perlu seimbangkan makanan yang kita makan dengan senaman yang dilakukan bagi mendapatkan berat badan ideal,” katanya.

Nursyamimi berkata, senaman yang biasa dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki semasa membeli-belah yang menyebabkan kadar degupan jantung tinggi selain pengeluaran peluh meningkat.

Selain berjalan, berkebun selama setengah jam boleh membakar sebanyak 100 kalori.

“Bagaimanapun semua aktiviti senaman dan makanan bergantung kepada usia dan berat badan seseorang,” katanya.

Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan apa yang kita makan.

Bagi diet yang betul, pesakit perlu makan ikut waktu, memilih makanan yang betul dan pastikan kalori yang perlu diambil setiap hari.

Nursyamimi berkata, sarapan pagi tidak boleh ditinggalkan dan pesakit perlu mengambil lebih protein dan fiber seperti telur, ikan dan ayam.

Menu sarapan bagi wanita adalah sebiji telur separuh masak, dua keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat. Manakala bagi lelaki pula adalah sebiji telur separuh masak, tiga hingga empat keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat.




Bagi makan tengahari pula, ambil 1/3 nasi, 1/3 ikan, ayam atau daging dan 1/3 sayur-sayuran serta sebiji atau sehiris buah-buahan.

Sementara makan malam lebih kurang sama dengan makan tengahari.

Bagaimanapun diet ini perlu diubah mengikut tahap kesihatan seseorang seperti diabetes, pesakit jantung dan penyakit kronik lain.

“Perlu diingat, pastikan waktu makan setiap hari adalah lebih kurang sama. Bermula dengan sarapan pukul 7 hingga 9 pagi, makan tengahari pada pukul 12.30 hingga 2.30 petang dan makan malam seelok-eloknya empat jam sebelum tidur atau sebelum pukul 8 malam,” katanya.

Dr. Nursyamimi berkata, diet tanpa senaman atau dikatakan sebagai ‘yo-yo diet’ biasanya akan menyebabkan berat badan turun naik mendadak kerana kehilangan otot.

Diet ini menggunakan otot untuk ditukar kepada tenaga kerana otot dua kali lebih berat berbanding lemak.

“Diet sebegini amat tidak digalakkan,” katanya.

Mereka yang mengamalkan diet berkenaan mempunyai risiko bertambah berat badan dua kali ganda, kerosakan buah pinggang, haid tidak teratur, mood tidak betul, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah menurun sehingga kadang-kala boleh pengsan.

Biasanya penurunan berat badan yang ideal adalah 10 peratus dalam tempoh enam bulan.

Diet paling popular sekarang adalah pengambilan protein tinggi dan rendah karbohidrat tetapi diet ini tidak boleh diambil berterusan kerana akan memberikan kesan kepada buah pinggang.

“Biasanya ia hanya dilakukan selama 60 hari dan diikuti dengan senaman seperti berenang, berbasikal atau joging mengikut kesesuaian,” katanya.

Dalam tujuh seminggu, pastikan lima hari dengan masakan bakar, kukus atau sup sementara hari lain dengan goreng atau bersantan.

Mengenai pusat pelangsingan badan, pil penyerap dan membakar lemak serta teh herba, Nursyamimi berkata, ia hanya akan berkesan jika menjaga pemakanan selain senaman.

Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah pembuangan air atau menyerap semua lemak yang ada dalam badan.

“Kadang-kala kita rasa lapar tetapi sebenarnya kita hanya dahaga. Jadi pastikan sama ada kita benar-benar lapar dengan meminum air,” katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang ingin mengawal berat badan agar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bertemu dengan pakar pemakanan bagi mendapatkan diet yang betul.

“Ini kerana diet berlainan bagi individu mengikut tahap kesihatan masing-masing,” katanya.

Kredit: Utusan.com.my

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 7.8/10 (13 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +3 (from 5 votes)

Tips Kesihatan – Cara Menghilangkan Panas Dalam Tubuh

Khasiat yang terkandung pada teratai menyebabkan ia telah lama menjadi sebahagian bahan dalam masakan orang Cina dan Jepun.

Tumbuhan akuatik ini sangat unik. Tiada tumbuhan lain sepertinya. Hidup di dalam air, memekarkan kuntuman bunga yang indah, tetapi kebaikannya bukan sekadar menawarkan suasana romantik bagi pasangan bercinta. Atau simbol kepada kesucian atau digunakan dalam ritual keagamaan.




Ada yang lebih senang memanggilnya lotus dan ada pula yang menggelarnya teratai. Tetapi yang pasti apa jua panggilan anda untuk tumbuhan daripada famili nymphaeaceae, ia sebenarnya menawarkan khasiat perubatan dan kesihatan yang sangat besar.

Daripada daun, bunga dan biji teratai, semuanya mempunyai khasiat tersendiri. Tetapi bahagian rahsianya yang menawarkan khasiat yang lebih pelbagai terletak pada rizom atau ubinya.

Menurut Ong Hean Chooi dalam bukunya Vegetables for Health and Health, rizom segar lotus mengandungi 80 hingga 85 peratus air, 10 hingga 12 peratus karbohidrat, dua hingga tiga peratus protein, 0.5 hingga satu peratus fiber, asid askorbik, riboflavin, kalsium dan thiamine.




Walaupun teratai dikatakan berasal sama ada dari Timur Tengah atau India, yang jelas, kebaikan teratai menyebabkan populariti tumbuhan akuatik itu tersebar ke seluruh dunia. Orang Jepun dan Cina antara yang sudah sekian lama mengeksploitasi nikmat kesihatan teratai.

Buktinya dalam kebanyakan mereka terutamanya sup, teratai menjadi bahan utama. Malah, kini penggunaan ubi teratai itu dipelbagai termasukkan digoreng, diperap masam atau dijadikan tepung.

Dalam buku Vegetables for Health and Health juga menyatakan, daun teratai baik untuk merawat cirit-birit, pening dan demam manakala bunga teratai baik untuk merawar pendarahan dan impetigo (jangkitan kulit kerana bakteria). Tidak kurang menariknya bunga teratai juga didakwa baik untuk kaum lelaki kerana ia merawat ejakulasi pramatang.

Sementara itu, antara khasiat yang diberikan rizom teratai kepada tubuh termasuklah pendarahan usus, kolera, cirit birit, pendarahan hidung dan demam. Kemampuan teratai merawat beberapa penyakit itu dikaitakan dengan fungsinya yang menghilangkan panas dalam tubuh.

Menurut Dr. Setiawan Dalimartha, sifat khas pada teratai ialah menyejukkan tubuh. “Salah satu kegunaan biji dan rizom teratai ini ialah menghilangkan panas dalam tubuh. Tetapi pengambilannya tidaklah boleh terlalu berlebihan kerana ia tinggi dengan protein,” kata Setiawan.

Tips:

Mengatasi insomnia – Gunakan lima hingga 12 gram biji tertai direndam hingga lembut. Kemudian rebus secukupnya. Minum air bersama biji teratai.

Mengurangkan stress – Gunakan 20 butir biji teratai dan 15 gram longan. Direbus dan diminum.

Merawat demam – Ambil 30 gram ubi teratai, 15 gram tebu yang dibuang kulit, sebiji buah pir. Bahan ini dikisar dan diminum.

Merawat cirit-birit – Ambil 50 gram ubi teratai, 10 gram halia. Tambahkan air dan kisarkan. Didihkan jus ini dan tambah sedikit madu.

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 8.2/10 (5 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +1 (from 3 votes)

3 Rahsia Diet Dr. Aishah Kekal Langsing

Rakyat Malaysia makan sesuka hati dan tidak menjaga pemakanan. Akibatnya masalah obesiti kini menular di kalangan masyarakat dengan berat badan 37 peratus penduduk melampaui had sihat.




Lebih membingungkan, mereka sanggup memudaratkan kesihatan dengan makan sesuka hati tanpa mengambil hirau kandungan dalam sesuatu hidangan.

Bagi pengamal perubatan, Dr. Aishah Tul Radziah Lebai Hussin, 61, pengambilan makanan ‘tidak sihat’ sebenarnya boleh dielakkan jika mempunyai pengetahuan dan peka terhadap juadah yang dinikmati.

Beliau telah berjaya menurunkan berat badan daripada 68 kilogram (kg) kepada 49 kg 10 tahun lalu dan dapat mengekalkan berat badan unggul hingga sekarang.

Malah, beliau yang mengasaskan Dr. Aishah Solution Sdn. Bhd. (DAS) berkata, selain mengelakkan penyakit, pemilihan makanan yang betul juga boleh memberi ‘nilai tambah’ kepada tubuh badan.

Mengambil kira kepentingan itulah, Dr. Aishah kini tampil memperkenalkan konsep pemakanan inovatif dan kreatif tersendiri untuk pengetahuan masyarakat umum.

Dr. Aishah berkata, konsep pemakanan yang diperkenalkan itu terbahagi kepada tiga kategori utama meliputi juadah makanan aesthetic, aphrodesiac dan penyembuh.

Kesemua tiga kategori makanan itu sememangnya diperakui mempunyai khasiat tinggi dan rendah kalori. Ramuan utamanya ialah teh hijau yang terkenal dengan ciri-ciri anti oksida.

“Pengambilan makanan aesthetic membolehkan seseorang itu kekal sihat dan pada masa sama meningkatkan kecantikan. Contoh resipi inovatif yang diperkenalkan dalam Bengkel Transformsi Diri Kekal Langsing ialah egg tuna roll bersama sos teh hijau,” katanya.





Bagi pasangan suami isteri pula, hubungan kelamin yang berkesan sebenarnya turut berkait rapat dengan pengambilan makanan.

Untuk itu, makanan kategori aphrodesiac boleh menjadi penyelesaian yang baik.

“Makanan aphrodesiac boleh meningkatkan hubungan kelamin dan boleh mengatasi masalah kelesuan serta pada masa sama boleh meningkatkan daya hubungan intim.

“Pakar pemakanan mencadangkan ramuan-ramuan yang digunakan dalam makanan jenis ini hendaklah mempunyai zat yang tinggi,” kata Dr. Aishah.

Beliau berkata, antara makanan yang termasuk dalam kategori tersebut ialah badam, asparagus, pisang, daun selasih (basil), coklat, tiram, buah pala, halia dan brokoli.

Penyelidik percaya coklat mengandungi bahan kimia teobromine yang memberi kesan neurotransmitter dalam otak dan bahan perangsang phenylethylamine.

“Makanan jenis ini kaya dengan Vitamin terutamanya B6 dan potassium yang boleh merangsang hormon seksual,” jelasnya.

Sementara makanan kategori penyembuh pula berupaya memperbaiki kerosakan sel dalam badan dan menjadi penawar kepada sesuatu penyakit.

“Contoh makanan jenis ini adalah superfoods yogurt, bayam, kacang, kekacang, teh hijau, brokoli, telur, beri dan keledek merah,” katanya.

Namun begitu, Dr. Aishah berkata, penghasilan makanan memerlukan kreativiti dan resipi tersendiri.

Untuk itu, beliau kini giat menjalankan bengkel masakan dan seminar bagi berkongsi rahsia dan resipi penghasilan makanan tersebut dengan umum.

Contoh resipi yang diketengahkan ialah sup badam brokoli, sup barli lobak merah, avokado 8, pegaga dan lain-lain lagi.

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 7.6/10 (19 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +5 (from 7 votes)

Rencana Kesihatan – Masalah Kembung Perut

Sindrom Usus Rengsa atau Irritable Bowel Syndrome (IBS) bukanlah satu penyakit yang kritikal atau serius. Sungguhpun begitu, ia mengganggu aktiviti harian.




Masalah kembung perut mungkin mendatangkan kegusaran kepada empunya diri. Malu berhadapan dengan khalayak ataupun tidak tahu bagaimana menyembunyikan keadaan perut yang seperti membuncit umpama wanita hamil antara alasan utama yang diberikan.

Masalah ini seringkali mengganggu golongan dewasa, lebih-lebih lagi wanita yang berusia 25 hingga 40 tahun. Justeru, mereka sanggup mengenakan baju bersaiz besar atau berwarna gelap bagi menutup perut yang agak buncit.

Pelbagai langkah perubatan dan petua tradisional dilakukan, tetapi saiz abdomen masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.




Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, kemungkinan seseorang itu mengalami masalah kembung perut adalah disebabkan sindrom Usus Rengsa atau Irritable Bowel Syndrome (IBS).

IBS melibatkan beberapa gejala gastro usus atau organ pencernaan yang penting. Ia tidak sama dengan penyakit kolitis ulseratif atau kanser dan IBS tidak menyebabkan kedua-dua penyakit tersebut.

Usus manusia adalah seperti tiub muskular dan kadangkala ia boleh mengecut terlalu kuat disebabkan beberapa perkara.

“IBS adalah gangguan fungsi usus dan bukannya struktur usus seperti sekatan, sumbatan, ketumbuhan atau tumor.

“Keadaan ini serupa dengan kes di mana seorang ahli sukan mendapat kekejangan pada otot kaki. Kejadian itu biasanya mula berlaku pada peringkat awal kehidupan dewasa atau peringkat remaja.

“Pada amnya, IBS bukanlah sejenis penyakit yang kritikal atau serius. Sungguhpun begitu, ia mengganggu aktiviti harian,” ujarnya sambil mengakui kembung perut bukanlah satu masalah serius.

Katanya, ciri-ciri sindrom tersebut dapat dirasai seperti sakit di bahagian abdomen yang kebiasaannya dilegakan oleh pengeluaran angin atau pembuangan air besar, najis bercampur mukus, cirit-birit yang biasanya berlaku pada waktu pagi dan sembelit.

Mengulas gejala penyakit tersebut, Dr. Abdul Malik berkata, setiap orang mempunyai gejala yang tersendiri. Gejala itu mungkin berpanjangan untuk beberapa hari, minggu atau berbulan-bulan.

Walaupun sesuatu gejala utama mungkin lebih ketara berbanding gejala yang lain tetapi gejala yang biasa berlaku adalah cirit-birit dan sembelit.

Spektrum kesakitan pula mungkin berbeza daripada kesakitan yang ringan sehingga sangat teruk. Kehadiran gejala itu kebiasaannya berlaku pada waktu malam ketika hendak tidur.

Adakah disebabkan stres? “Stres atau tekanan adalah perkara biasa dalam kehidupan harian. Ia memberikan banyak pengalaman dalam kehidupan seseorang.

“Keadaan stres yang keterlaluan akan menimbulkan rasa bimbang yang berterusan dan hal ini mungkin akan menyebabkan gejala-gejala penyakit.

“Masalahnya anda mengalami gejala gastro usus yang memerlukan perhatian kerana keadaan yang dialami mungkin penyakit IBS.

“Belajarlah untuk relaks. Anda tidak dapat mengelak daripada stres tetapi anda boleh membantu tubuh anda menyesuaikan diri untuk menerima keadaan tersebut,” jelasnya.

Lakukanlah senaman yang mudah untuk beberapa minit setiap hari. Regang otot-otot untuk beberapa saat, kemudian rehatkan diri. Apabila anda berasa tegang, lakukan senaman pernafasan dengan menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembus keluar nafas dengan perlahan-lahan.

Bagaimana pula dengan diet? Dr. Abdul Malik memberitahu, biasanya pesakit mendapat faedah dengan meningkatkan pengambilan serat yang dilakukan secara beransur-ansur.

Kebanyakan orang boleh meneruskan cara pemakanan mereka dengan normal. Kadangkala makanan yang mengandungi susu boleh menimbulkan gejala-gejala seperti kembung perut dan kesakitan abdomen bagi individu yang tidak toleran atau sesuai dengan laktosa.

Seseorang yang mengalami kembung perut harus mengelakkan pengambilan makanan berdaun, mengunyah gula-gula getah, kekacang atau makanan dan minuman yang boleh membentuk gas.

Pakar gastroenterologi iaitu doktor yang terlatih khusus dalam merawat gangguan usus dan lain-lain organ pencernaan boleh dirujuk untuk membantu rawatan.

Perlu difahami bahawa mempunyai masalah IBS, bagaimanapun, tidak meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat kanser kolon.

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 8.8/10 (12 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +2 (from 2 votes)