Cara Berdiet Untuk Pesakit Kanser

Diet untuk pesakit atau bekas pesakit kanser amat penting kerana risiko penambahan berat badan adalah tinggi semasa proses penyembuhan.




Ubat yang digunakan semasa rawatan boleh menyebabkan berat badan meningkat dengan drastik dan boleh mengembalikan kanser.

Statistik kanser meningkat secara mendadak di seluruh dunia tanpa diketahui puncanya.

Mungkin gaya hidup termasuk faktor pemakanan serta persekitaran mendorong kepada peningkatan berkenaan.

Kini masyarakat lebih terdedah kepada makanan diproses, tekanan hidup, kurang senaman dan persekitaran yang tidak sihat.

Justeru seluruh masyarakat sama ada pesakit, bekas pesakit atau mereka yang tidak menghidap kanser perlu mengamalkan gaya hidup sihat.




Salah satunya adalah diet sihat bagi mengawal berat badan berlebihan terutama bagi pesakit dan bekas pesakit kanser.

Pakar Pemakanan dan Diet, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing berkata, berat badan bekas pesakit kanser biasanya bertambah kerana tabiat pemakanan, tidak bersenam selain penggunaan ubat.

“Justeru pesakit serta bekas pesakit kanser disaran mengurangkan pengambilan daging merah dan daging yang diproses serta makanan tinggi tenaga dan lemak.

“Mereka digalakkan mengambil makanan berasaskan tumbuhan dengan tiga hingga empat hidangan sehari,” katanya semasa Forum Awam mengenai pemeriksaan kesihatan berkala dan pengesanan awal kanser sempena Hari Kanser Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Lemak dan gula boleh dikatakan sebagai makanan kepada kanser.

“Diet yang tinggi lemak dan gula seperti makanan manis dan bersantan boleh meningkatkan kalori dan menyumbang kepada peningkatan berat badan,” katanya.

Selain risiko kanser kembali berulang, gula dan lemak turut menyumbang kepada penyakit kronik lain termasuk darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Yen Sing berkata, nutrisi yang baik amat penting bagi menjadikan pesakit lebih bertenaga dan tidak keletihan.

“Sebenarnya ramai pesakit kanser mati kerana kekurangan zat makanan,'” katanya.

Namun pesakit perlu memastikan pengambilan lemak tidak berlebihan dengan memantau apa yang dimakan.

“Misalnya, jika pesakit mengambil makanan berat pada waktu tengah hari, maka sebelah petang atau makan malam, kurangkan jumlah yang dimakan.

“Mereka hanya perlu mengambil satu cawan nasi atau bubur nasi atau dua keping roti bijirin dengan lauk-pauk yang tidak digoreng berserta sayur-sayuran,” katanya.

Kekurangan berat badan memang biasa dalam kalangan pesakit kanser dengan 50 hingga 90 peratus mengalami masalah berkenaan.

Keletihan juga adalah perkara biasa kesan rawatan dan ubat yang digunakan.

Bagi mengatasi masalah keletihan, Yen Sing berkata, pesakit memerlukan makanan dalam kuantiti sedikit secara berterusan. Mereka disaran mengambil makanan yang mudah disediakan seperti sandwich dan biskut rendah lemak.

Pesakit biasanya mengalami rasa pahit di tekak dan bagi mengatasinya cubalah ambil makanan yang masam atau herba.

Mereka juga digalakkan mengambil karbohidrat kompleks seperti roti gandum, beras perang dan oat.

Seelok-eloknya ambil makanan yang dikukus, rebus, bakar atau panggang.

“Penyediaan dan penyimpanan makanan juga penting bagi pesakit kanser kerana makanan perlu disediakan dengan bersih dan disimpan secara betul.

“Misalnya baki makanan perlu disimpan di dalam tempat sejuk beku bagi mengurangkan pembiakan bakteria,” katanya.

Sediakan makanan dengan peralatan yang bersih, asingkan papan pemotong untuk memotong sayur-sayuran dan buah-buahan dengan ikan, daging dan ayam.

Basuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan bagi memastikan segalanya dalam keadaan bersih.

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 7.1/10 (23 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +4 (from 6 votes)
Cara Berdiet Untuk Pesakit Kanser, 7.1 out of 10 based on 23 ratings